Punca-punca Dan
Langkah-langkah Mengatasi Kejadian Buli Dalam Kalangan Remaja
Buli
semakin berleluasa di sekolah kita. Keadaan ini menyebabkan masyarakat semakin
gusar. Huraikan punca-punca dan langkah-langkah yang tercetus.
Apakah
itu kes buli? Kes buli membawa maksud masalah yang meliputi kegiatan seperti
memeras ugut, menghina, mengejek, menumbuk, memaki dan sebagainya yang
dilakukan oleh seseorang terhadap pemangsanya. Memang tidak boleh dinafikan
bahawa dewasa ini, kes buli yang berlaku di sekolah semakin berleluasa dan
menjadi-jadi. Hal ini telah mencapai satu tahap yang amat merimaskan dan
membimbangkan pelbagai pihak seperti pihak sekolah, ibu bapa, kerajaan,
masyarakat dan lain-lain lagi. Menurut kajian, kes buli ini menjadi semakin
meningkat pada setiap tahun dalam kalangan pelajar dan semakin serius
masalahnya. “Jika tidak kerana angin masakan pokok bergoyang”. Oleh
itu, setiap masalah yang berlaku tentu mempunyai puncanya. Terdapat beberapa
punca yang telah dikenal pasti sebagai penyumbang kepada masalah kes buli ini.
Antaranya
ialah kekurangan penghayatan nilai-nilai agama yang ada pada pelajar
yang sanggup melibatkan dirinya dalam kes buli. Mereka sanggup berbuat demikian
hanya untuk mendapatkan perhatian orang lain dan menunjukkan kekuatannya
kepada orang lain. Pelajar-pelajar yang ketandusan nilai-nilai agama tidak
mengenal perkara yang baik dan buruk malah tidak mempedulikan pahala dan dosa
lalu sanggup menganiaya rakan-rakan sendiri tanpa rasa berdosa. Mereka juga
sanggup bersikap kejam dengan memukul, memeras ugut dan menghina rakan-rakan
yang lemah. Ringkasnya, mereka semakin ketandusan nilai kemanusiaan dalam diri
mereka sendiri.
Selain
itu, ibu bapa yang kurang memberikan belaian kasih sayang dan perhatian
kepada anak juga menjadi antara puncanya kes buli ini berlaku. Ibu bapa
yang selalu sibuk mencari duit dan bersikap materialistik telah mengabaikan
tanggungjawab mereka terhadap anak mereka. Anak-anak yang kurang mendapat
perhatian merasakan diri mereka tidak disayangi dan menyusahkan. Anak-anak yang
berperasaan begini akan cuba mencari perhatian dengan melakukan pelbagai perkara
yang tidak baik dan salah satunya membuli rakan-rakan mereka kelihatan pasif.
Di
samping itu, para pelajar yang masih berumur setahun jagung dan berdarah
setampuk pinang ini mudah terpengaruh dengan tindakan rakan
sebayanya. Jika kawan-kawannya merupakan pembuli, pelajar tersebut juga akan
terikut-ikut perbuatan kawannya supaya dapat diterima oleh ahli-ahli
kumpulannya. Pengawasan yang longgar di sekolah juga menjadi puncanya
kerana telah memberi peluang kepada pelajar yang ingin menjalankan pembulian
mereka terhadap pelajar lain.
Bak
kata pepatah ‘tiada penyakit yang tiada penyembuhnya’.Terdapat pelbagai
langkah drastik yang boleh dijalankan untuk membendung dan membanteras kemelut
ini. Antaranya ialah pihak kerajaan seperti Kementerian Pelajaran dan juga
pihak sekolah harus menitikberatkan isu kes buli ini dalam pelajaran di sekolah
dengan melalui mata pelajaran tertentu seperti Pendidikan Moral, Pendidikan
Islam, Pendidikan Sivik dan sebagainya. Dengan itu, pelajar akan menyedari
bahawa perbuatan buli ini merupakan satu kesalahan dan pelajar juga didedahkan
dengan pelbagai maklumat tentang kesan buruk daripada perbuatan membuli dan
cara-cara mengelakkannya daripada terbabit dalam kes buli ini. Selain
itu, ceramah atau kempen seperti kempen anti buli juga boleh diadakan
oleh kerajaan secara berterusan di setiap sekolah dari semasa ke semasa bagi
menyedarkan para pelajar agar menjauhi diri daripada gejala buli. Aktiviti
seperti kuiz tentang kes buli juga boleh dilaksanakan sebagai salah satu inisiatif
dalam menangani masalah kes buli ini.
Namun
begitu, pihak sekolah juga perlu sentiasa memastikan bahawapengawasan di setiap
pelosok kawasan sekolah seperti di belakang bangunan sekolah dan kaki lima
sekolah yang sunyi diperketat supaya tidak memberi sebarang peluang kepada
mereka yang mempunyai keinginan untuk membuli mangsanya. Pihak sekolah
juga boleh menggalakkan para pelajar supaya menyertai Kelab Pencegah Jenayah di
sekolah dengan aktif. Hal ini kerana para pelajar akan memperoleh lebih banyak
pengetahuan tentang cara-cara mencegah masalah kes buli sekiranya pelajar
menjadi pemangsa dalam kes itu dan para pelajar juga boleh menyebarkan
informasi yang diperoleh itu kepada rakan-rakan yang lain agar semua pelajar
tahu akannya.
Langkah
yang lain ialah para pelajar juga harus pandai memilih kawankerana para
pelajar biasanya juga akan mudah terpengaruh dengan perbuatan kawannya.
Contohnya, jika kawannya minat membaca buku, maka pelajar tersebut juga akan
dipengaruhi dan membaca bersama-sama. Perkara ini sama juga jika kawan pelajar
itu sentiasa melibatkan diri dalam kes buli di sekolah. Di samping
itu, para pelajar juga harus berganding bahu dengan pihak
sekolah dalam usaha untuk membendung gejala ini. Para pelajar yang
ternampak kes buli itu berlaku atau menjadi mangsa pembuli harus memberanikan
diri untuk melaporkan kepada pihak sekolah dengan segera agar masalah itu dapat
diatasi dengan secepat mungkin demi kesejahteraan sekolah.
Manakala,
pihak sekolah yang telah menerima laporan aduan daripada pelajar juga
harus berusaha mengatasi masalah itu dengan bersungguh-sungguhdan bukan
sebaliknya dengan menutup kes itu dengan sesuka hati sahaja. Jika kes ini masih
tidak dibicarakan, masalah kes buli akan semakin bertambah dan berleluasa lagi.
Pihak sekolah boleh berjumpa dengan pelajar yang disyaki melibatkan diri
dalam kes buli dan juga ibu bapanya untuk membincangkan masalah yang
dihadapi oleh pelajar tersebut dan mendapatkan jalan keluarnya. Pihak
sekolah harus mengenakan hukuman yang setimpal kepada pelajar
tersebut agar dia tidak mengulangi perbuatan itu lagi dan juga dijadikan
sebagai iktibar kepada pelajar yang lain.
Selain
itu, ibu bapa juga memainkan peranan yang penting dalam usaha untuk
membendung kemelut ini. Ibu bapa haruslah menampilkan teladan yang
baik kepada anak-anak mereka supaya anak akan mencontohi kelakuan ibu bapa
mereka kerana pada tanggapan anak mereka, perbuatan ibu bapa adalah sentiasa
betul dan patut diikuti. Janganlah ibu bapa berlakuan baik di hadapan anak-anak
sahaja, sedangkan mereka juga sering mengejek, menghina orang dan sebagainya.
Bak kata pepatah ‘bapa borek, anak rintih’, ‘ketam mengajar anaknya
berjalan lurus sedangkan dirinya berjalan senget’.Tambahan pula, di samping
mengejarkan kebendaan dalam kehidupan dan sibuk bekerja, ibu bapa juga harus
sentiasa mengambil perhatian tentang keadaan anak mereka semasa di sekolah
dan memberikan belaian kasih sayang yang sepenuhnya kepada mereka supaya mereka
tidak berasa sunyi dan diabaikan. Ibu bapa juga harus memupuk anak mereka sejak
kecil lagi sepertimelentur buluh biarlah dari rebungnya agar sentiasa sudi
meluahkan isi hati dan masalah yang dihadapi kepada mereka bagi mengatasinya
bersama-sama.
Natijahnya,
selagi masalah ini masih berleluasa, impian negara kita yang ingin melahirkan
satu bangsa yang bermartabat mulia dan berdaya maju akan tinggal sebagai
khayalan sahaja. Hasrat negara kita yang ingin mencapai Wawasan 2020 juga akan
tinggal sebagai angan-angan Mat Jenin semata-matanya. Hal ini kerana
para pelajar merupakan aset negara yang penting dan akan menerajui negara ini
pada masa depan. Bak kata peribahasa Melayu ‘pemuda harapan bangsa, pemudi
tiang negara’. Oleh itu, semua pihak haruslah sehilir semudik dan
sehati sejiwa dalam usaha menangani masalah kes buli ini walaupun kita
terpaksa mengharungi liku-liku yang penuh dengan onak duriini. Semoga
berkat daya usaha yang gigih, kita dapat melahirkan generasi muda yang dapat
menjulang nama negara dan mengangkat martabat bangsa di persada dunia.
.