WATAK DAN PERWATAKAN: MELUNAS RINDU
WATAK DAN PERWATAKAN
Watak Utama
Fuad (Joshua atau Abdul Halim)
Watak Fuad digambarkan oleh pengarang
sebagai seorang anak muda yang
kacak, tubuhnya tinggi, berdarah kacukan Cina
dan Melayu, iaitu ayahnya berketurunan Cina dan emaknya pula berketurunan
Melayu.
Selain itu, Fuad memiliki kelulusan Ijazah
Pentadbiran Perniagaan dari
universiti ternama di Amerika Syarikat. Fuad bekerja sebagai guru sementara
yang mengajarkan Bahasa Inggeris di Sekolah Menengah Seri Setia. Dia juga
seorang yang dedikasi terhadap tugasnya sebagai guru, contohnya dia tidak
pernah ponteng kelas dan sanggup pulang lewat untuk membimbing anak-anak
muridnya yang lemah dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris.
Fuad ialah seorang yang taat akan perintah agama dan sebagai buktinya dia tidak pernah
meninggalkan solat walaupun dalam perjalanan jauh atau sebagai musafir dia
menunaikan solat qasar. Sebagai contohnya, Fuad berhenti di sebuah masjid untuk
menunaikan solat qasar ketika dia dan Farhana dalam perjalanan ke Kuantan.
Fuad ialah seorang anak muda yang tabah menghadapi cabaran hidup yang penuh dengan liku dan dia
tidak pernah mengesali nasibnya itu, contohnya dia tabah menghadapi hidupnya
tanpa ibu dan bapa di sisinya. Dia cuma menumpang kasih sayang daripada bapa
dan ibu saudaranya iaitu Patrik Lim dan Swee Lan. Selain itu, dia juga
menumpang kasih sayang daripada keluarga angkatnya iaitu Pak Ismail dan Mak
Salmah. Bukti lain ialah dia tabah menghadapi kenyataan bahawa Farhana ialah
adik kandungnya sendiri yang berlainan bapa.
Fuad juga digambarkan sebagai seorang yang penyayang, contohnya dia sayang akan apaknya dan
juga adik-adik sepupunya. Buktinya dia sanggup memberikan wang dan menanggung
persekolahan Ah Soh yang sedang belajar di tingkatan enam atas.
Fuad turut digambarkan sebagai orang yang
suka menolong orang lain.
Sebagai contohnya, dia membantu Farhana untuk menjaga ibunya yang sakit di
hospital dan mengambil berat akan adik-adik Farhana. Selain itu, Fuad seorang
yang murah hati dalam menghulurkan sebarang bantuan, contohnya dia dengan murah
hati membayar bil rawatan anak rakannya, iaitu Borhan yang demam panas. Di
samping itu, Fuad juga murah hati dengan membelikan Pak Ismail sebuah motosikal
untuk kegunaannya seharian. Fuad juga murah hati dengan memberi jagung yang
ditanamnya sendiri kepada Farhana dan guru-guru di sekolahnya.
Selain itu, Fuad digambarkan sebagai seorang
yang menghormati orang lain, contohnya dia menghormati Pak Ismail
dengan Mak Salmah dan tidak pernah meninggikan suaranya ketika berbicara.
Contoh yang lain ialah dia menghormati Cikgu Zamani dengan memenuhi jemputan
untuk makan malam di rumahnya.
Watak Sampingan
Farhana
Pengarang menggambarkan Farhana bertubuh kecil molek, berkulit
putih dan cantik orangnya. Farhana berkelulusan Ijazah Sarjana Muda dalam Bahasa
Inggeris dari universiti luar
negara. Farhana berumur dua
puluh empat tahun.
Farhana bekerja sebagai guru Bahasa Inggeris di Sekolah Menengah Seri Setia. Di
sekolah itu dia diamanahkan untuk menjadi Ketua
Panitia Bahasa Inggeris dan
membantu Pengetua dan Penolong Kanan dalam menguruskan hal-hal yang berkaitan
dengan mata pelajaran Bahasa Inggeris.
Farhana ialah seorang yang periang, mudah ketawa dan mudah untuk diajak berbual. Dia juga seorang yang nakal dan lincah.
Dia juga seorang yang dedikasi dan komited terhadap tugasnya sebagai guru, contohnya dia tidak pernah ponteng kelas lanjutan seperti yang dilakukan oleh ikgu Zamani. Dia berusaha untuk membantu anak-anak muridnya untuk lulus dalam peperiksaan Bahasa Inggeris. Selain itu, Farhana turut digambarkan sebagai seorang yang penyayang, contohnya dia sayang akan emak dan adik-adiknya. Di samping itu, dia juga menyimpan perasaan sayang terhadap Fuad. Akhirnya perasaan sayang itu bertukar menjadi perasaan sayang kepada abang kandungnya sendiri.
Selain itu, Farhana digambarkan sebagai seorang anak yang bertanggungjawab terhadap keluarganya sendiri. Sebagai contohnya, Farhana segera pulang ke Kuantan untuk menjaga ibunya yang sakit lelah dan dimasukkan ke hospital. Dia sanggup tidur di hospital semata-mata untuk menjaga ibunya yang sakit itu.
Walau bagaimanapun Farhana juga digambarkan sebagai seorang yang tegas pendirian, contohnya dia tetap mempertahankan pendapat ketika bertengkar dengan Cikgu Zamani yang suka ponteng kelas di sekolah.
Selain itu, Farhana juga seorang yang berani menegakkan kebenaran, contohnya
dia berani berhujah dengan Cikgu Zamani yang selalu ponteng kelas dan suka
mengkritiknya.
Walaupun perwatakannya nampak kasar dan tegas tetapi Farhana sebenarnya seorang yang sensitif dan beremosi contohnya, dia menangis dan berasa sedih apabila Fuad memberitahunya tentang hubungan mereka sebenarnya ialah adik-beradik. Dia agak sukar untuk menerima kenyataan itu pada peringkat awalnya.