ISU AMALAN MEMBACA
Aktiviti membaca
seharusnya menjadi amalan masyarakat kerana bangsa membaca bangsa yang berjaya.
Ulaskan pernyataan
tersebut.
Dalam beberapa ungkapan
peribahasa banyak juga yang membuat perbandingan perihal golongan cerdik dengan
yang bodoh. Peribahasa seperti si bodoh menjadi makanan si
cerdik, menggambarkan kecerdikan dan kepintaran menjadi keutamaan dalam
masyarakat. Demikian pula dengan sepotong maksud ayat dalam Al Quran yang
menyatakan, “Adakah sama golongan yang berilmu dengan golongan yang
jahil?”. Kedua-dua ungkapan indah tersebut memberi gred tertinggi kepada
golongan yang bijak dan berilmu. Oleh itu, apakah ciri utama untuk menjadi
golongan yang berilmu? Pemilikan ilmu tidak dapat ditiadakan dengan tradisi
membaca. Oleh sebab itulah dalam tamadun Islam sendiri, Firman yang
pertama yang turun kepada Nabi SAW ialah surah Al Alaq dengan membawa arahan
membaca. Ketinggian darjat golongan yang gemar membaca akan meletakkan
mereka sedarjat lebih tinggi daripada golongan biasa kerana dibezakan oleh
ilmu. Oleh itu, membacalah demi mengaut segala khazanah ilmu.
Apabila
kita telusuri semula sejarah panjang tamadun Islam, kecemerlangan
tamadunnya adalah berpaksikan ilmu pengetahuan. Tradisi membaca yang amat
ditekankan dalam Islam telah berjaya melahirkan tokoh-tokoh agamawan dan
ilmuwan yang tersohor. Daripada pembacaan yang penuh berdisiplin itulah,
justeru lahirlah tokoh-tokoh Islam yang amat hebat seperti ibnu Sina, Al
Farabi, Imam Malik, Imam Shafie dan banyak lagi. Al Quran sebagai kitab teras
dalam kepercayaan Islam telah memuatkan pelbagai khazanah ilmu yang meliputi
empat paksi utama ilmu iaitu Akidah, Ibadat, Jinayat dan Munakahat. Penganut
Islam yang benar-benar membaca dan menghayati isi kandungan Al Quran telah
berjaya mengangkat syiar Islam ke seluruh empat penjuru alam. Pernah dikhabarkan,
ketika kejatuhan kerajaan Abasiyah di tangan kuasa Mogul, air sungai Furat
telah menjadi hitam pekat kerana cairan dakwat daripada buku-buku yang dibuang
ke dalam sungai. Begitulah gambaran hebatnya budaya ilmu dalam kalangan
generasi Islam zaman awal.
Perang
Salib telah menjadi satu lagi bukti bahawa tradisi membaca telah mengangkat
martabat sesuatu bangsa. Hal tersebut berlaku apabila tentera-tentera Salibiyah
yang dipimpin oleh Richard The Lion Heart telah memperoleh inspirasi
budaya ilmu dalam tamadun Islam. Banyak kitab ilmu yang telah dibawa balik lalu
diterjemahkan ke bahasa Latin. Akhirnya berkembanglah suatu lagi tamadun yang
terbina di atas budaya membaca. Permulaan zaman Renaissance di Eropah
benar-benar terbentuk hasil mentelaah dan mengkaji segala sumber ilmu yang
bermula dengan tamadun Islam. Akhirnya, hingga kini Eropah telah menjadi
‘kiblat’ perkembangan ilmu seperti falsafah, tamadun dan teknologi. Bangsa
Eropah bangkit daripada zaman gelap menjadi bangsa yang mengeksport ilmu.
Demikianlah betapa hebatnya amalan membaca.
Berbalik
kepada era moden, tradisi membaca telah menjadi penanda aras utama kepada
pencapaian luar biasa beberapa negara kuasa ekonomi dunia. Negara-negara
seperti Jepun, Korea Selatan dan beberapa negara baru di Eropah telah menjadi
kuasa ekonomi dunia. Walaupun potensi ekonomi mereka agak terhad, namun kuasa
ilmu telah berjaya mengangkat negara-negara tersebut untuk terus bersaing dalam
pasaran teknologi moden. Jepun yang amat dikenali dengan kekuatan membaca dalam
kalangan rakyatnya memang sukar ditandingi oleh kuasa-kuasa besar hatta Amerika
sekalipun. Rakyat Jepun dikatakan secara purata mampu membaca 120 buah buku
dalam setahun. Kini dua lagi kuasa baru di Asia Timur jauh iaitu Korea Selatan
dan Taiwan turut bersaing hebat dalam bidang teknologi. Pada hari ini rakyat
Korea Selatan amat disegani oleh dunia luar apabila teknologi android mereka
dalam penghasilan telefon pintar Samsung telah berjaya menawan pasaran dunia.
Begitulah beberapa petunjuk hebat hasil penjanaan ilmu kerana bangsa membca
bangsa yang berjaya.
Amalan
membaca sekali gus dapat membawa sesuatu bangsa untuk keluar dari zon
jumud kepada intelek. Hakikatnya, rakyat Malaysia pada era penjajahan telah
dianggap sebagai bangsa bodoh yang boleh dijajah dan dicucuk hidung. Namun,
atas kesedaran untuk kembali bermaruah, bangsa Malaysia juga mula celik ilmu
sebaik negara mencapai kemerdekaan. Akhirnya rakyat Malaysia mula menuntut ilmu
dalam pelbagai bidang. Kita mula menjadi bangsa pencinta ilmu dan bermulalah
tradisi membaca. Penubuhan pelbagai institusi pengajian sama ada rendah,
menengah mahupun tinggi telah memberi peluang rakyat menggali pelbagai cabang
ilmu seperti bahasa, sejarah, keagamaan dan teknologi. Walaupun hakikat minat
membaca rakyat Malaysia masih rendah jikalau hendak dibandingkan dengan rakyat
Jepun, namun kesedaran ke arah itu telah bermula. Hasil kesedaran terhadap
budaya ilmu dan budaya membaca, kini kita telah muncul sebagai salah sebuah Negara
Dunia Ketiga yang cukup pantas berkembang. Demikianlah suatu dimensi baru dalam
budaya membaca untuk meletakkan kita duduk sama rendah dan berdiri sama
tinggi dengan negara-negara maju.
Kesimpulannya,
memetik nukilan Saiyidina Ali KW, “Tuntutlah ilmu kerana ilmu menjaga kamu
dan kamu menjaga harta. Ilmu apabila diperdagangkan bertambah dan harta apabila
diperdagangkan berkurang, membuktikan bahawa ilmulah yang menjadi harta paling
kekal. Demi sebutir ilmu, justeru membacalah yang menjadi wadah utama. Sebagai
bangsa yang masih baharu, kita masih jauh untuk bersaing dengan negara-negara
maju, namun jikalau tradisi membaca terus diperkasakan, insya-Allah kita juga
akan menjadi bangsa yang berjaya.