Kepentingan Amalan
Membaca kepada Masyarakat
Kempen-kempen
untuk memberikan kesedaran kepada rakyat tentang kebaikan membaca perlu
diteruskan dan dipelbagaikan kerana banyak kebaikannya.
Bincangkan
kebaikan membaca kepada semua lapisan masyarakat terutamanya golongan remaja.
Pada
era globalisasi ini, pendidikan dalam semua lapisan masyarakat semakin penting
dan diutamakan. Walaupun pelbagai usaha telah dilakukan oleh pihak berkuasa
dalam memupuk amalan membaca namun, budaya membaca dalam masyarakat masih
rendah lagi. Melalui pembacaan, seseorang dapat memperoleh pelbagai ilmu
pengetahuan yang secara tidak langsung dapat membantu memajukan negara. Dengan
ini, isu budaya membaca dalam kalangan masyarakat tidak boleh dipandang ringan.
Jika budaya tersebut dibiarkan begitu sahaja hasrat masyarakat untuk menjadikan
negara kita negara maju pasti akan terganggu. Pengamalan budaya membaca dalam
kalangan masyarakat akan mendatangkan pelbagai faedah terhadap diri kita. Oleh
itu, semua lapisan masyarakat haruslah berusaha mengamalkan budaya membaca
kerana Membaca Jambatan Ilmu.
Memang
tidak dapat dinafikan bahawa dengan membaca, seseorang akan dapat
menambahkan ilmu pengetahuan. Hal ini kerana terdapat berbagai-bagai
maklumat termasuk isu semasa dan pengetahuan tentang kehidupan harian yang
terdapat di dalam buku, majalah dan surat khabar. Terdapat banyak bahan bacaan
telah dipasarkan di pasaran. Ibu bapa haruslah sanggup membelikan bahan bacaan
yang sesuai untuk anak-anak dan diri sendiri. Dengan membaca, seseorang dapat
meneroka pelbagai ilmu yang dapat dimanfaatkan untuk mencapai kejayaan
kerana Bangsa Membaca Bangsa Berjaya. Sewajarnya masyarakat rajin
berusaha dalam memupuk amalan membaca dan seterusnya menjayakan kempen-kempen
yang telah dianjurkan oleh kerajaan tentang amalan membaca. Pembacaan yang luas
juga dapat memupuk nilai-nilai murni dalam diri seseorang. Oleh itu, masyarakat
hendaklah rajin membaca supaya dapat menambahkan ilmu pengetahuan.
Selain
itu, membaca akan membantu menambahkan perbendaharaan katayang kita
miliki. Hal ini kerana dengan membaca kita akan menemukan pelbagai jenis
perkataan baharu. Jika kita membaca bahan bacaan yang berkaitan dengan bidang
Sains kita akan mengenali lebih banyak istilah atau kosa kata baharu dalam
bidang berkenaan seperti Anemia dan X-ray. Malah, apabila seseorang telah
mengenali banyak perbendaharaan kata, mereka akan dapat bertutur dengan lancar
dalam bahasa berkenaan. Individu itu juga akan dapat menguasai sesuatu bahasa
dengan mudah. Penguasaan perbendaharaan kata sangat berguna dalam menongkah
arus globalisasi kini. Persaingan antara masyarakat dalam pelbagai disiplin
ilmu juga akan menjadi lebih mudah. Dengan ini, kita haruslah rajin membaca
supaya dapat menambahkan perbendaharan kata dalam minda kita.
Tambahan
pula, budaya membaca dapat membantu pelajar lulus dengan keputusan yang
cemerlang. Hal ini demikian kerana pembacaan bahan bacaan yang banyak dapat
menambahkan pengetahuan tentang sesuatu mata pelajaran. Terdapat juga mata
pelajaran tertentu yang memerlukan pembacaan yang banyak. Sebagai contoh,
Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Sejarah. Mata pelajaran tersebut memerlukan
pembacaan yang luas kerana kita akan dapat maklumat atau isu semasa yang amat
berguna dalam penulisan esei. Pembacaan boleh dilakukan di perpustakaan mahupun
di rumah. Dengan ini, perpustakaan hendaklah dinaik taraf dengan kemudahan yang
lebih selesa seperti meja, kerusi, penghawa dingin dan kemudahan ICT supaya
pelajar-pelajar dapat menjalankan pembacaan mereka dalam keadaan yang kondusif.
Secara eksplisit, pelajar akan mengingati lebih banyak ilmu pengetahuan
daripada bahan bacaan tersebut. Pelajar yang cemerlang adalah pelajar yang
rajin membaca. Oleh itu, semua pelajar hendaklah menjadikan tabiat membaca
sebagai rutin harian agar mendapat keputusan yang cemerlang.
Membaca
juga dapat memenuhi masa lapang kita. Masa lapang ialah masa senggang
antara dua pekerjaan. Masa lapang perlu diisi dengan perkara yang berfaedah.
Kita boleh menjadikan amalan membaca sebagai hobi kita. Selain membaca, kita
boleh menjadikan perkara lain sebagai hobi sekiranya perkara itu berfaedah.
Terdapat 24 jam diperuntukkan kepada seseorang, namun masa yang singkat itu
sememangnya tidak cukup untuk kita melaksanakan pelbagai aktiviti. Dengan ini, kita
haruslah menggunakan masa lapang dengan efisien kerana masa itu emas.
Sekiranya seseorang itu tidak mempunyai masa untuk membaca, mereka boleh
membaca ketika menunggu bas. Oleh itu, sebagai insan yang begitu mengutamakan
masa mereka seharusnya mengisi masa dengan amalan membaca.
Di
samping itu, budaya membaca dapat membantu memajukan negara. Hal ini
demikian kerana tokoh-tokoh yang pakar dalam bidang tertentu dapat membantu
meningkatkan ekonomi negara kita. Lanjutan itu, negara kita dapat membangun dengan
pesat. Kemajuan dalam bidang sains dan teknologi telah menyebabkan banyak
ciptaan baharu direka. Sebagai contoh, negara Jepun yang maju dalam bidang
sains dan teknologi telah mencipta pelbagai jenis barangan yang berfungsi
secara automatik. Membaca akan menambahkan ilmu pengetahuan kita dan ilmu-ilmu
yang diperoleh ini bolehlah digunakan dalam memajukan sektor-sektor tertentu
seperti sektor pelancongan. Apabila sektor-sektor dibangunkan, ekonomi negara
kita akan pesat membangun seperticendawan tumbuh selepas
hujan. Secara umumnya, negara kita akan layak bersaing dengan negara maju
yang lain. Kemajuan negara pula perlu disusuli dengan budaya menulis buku. Oleh
itu, kita hendaklah rajin membaca supaya tanah air kita dapat dibangunkan dan
dimajukan. Malah, kita dapat hidup dalam keadaan yang lebih baik.
Kesimpulannya,
budaya membaca banyak mempunyai faedah kepada individu mahupun negara. Melalui
membaca kita akan dapat menambahkan ilmu pengetahuan kita. Ilmu pengetahuan
yang diperoleh itu bukan sahaja dapat membantu seseorang mendapat keputusan
yang cemerlang malah dapat memajukan negara. Walaupun pada hari ini pelbagai
prakarsa telah dilaksanakan untuk memupuk amalan membaca namun, usaha tersebut
diumpamakan hujan jatuh ke pasir. Ibu bapa mempunyai tanggungjawab yang
besar dalam memupuk budaya membaca. Hal ini disebabkan budaya membaca perlu
dipupuk sejak anak-anak kecil lagi kerana melentur buluh biarlah dari
rebungnya. Ibu bapa juga bertanggungjawab menjadi suri teladan kepada
anak-anak dengan banyak membaca buku. Selain itu, pihak kerajaan perlu
menyediakan pelbagai kemudahan seperti perpustakaan supaya kita dapat membaca
dengan selesa. Kempen-kempen membaca juga perlu dipergiat. Jika usaha-usaha
memupuk budaya membaca giat dijalankan, negara Malaysia pasti akan menjadi
negara yang maju. Oleh itu, semua orang wajiblah membaca dan berusaha
meningkatkan budaya membaca agar masyarakat yang celik ilmu dapat dilahirkan.
.