Faedah Mempunyai Hobi
Menurut
Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka, hobi dapat didefinisikan sebagai aktiviti
kegemaran yang dilakukan pada waktu senggang dan bukan merupakan pekerjaan
utama. Peribahasa rambut sama hitam tapi hati lain-lainmenunjukkan bahawa
setiap individu mempunyai hobi yang berbeza-beza dan tersendiri. Sebagai
analoginya, ada yang suka bersukan, ada yang minat mengumpul setem, ada juga
yang gemar mendaki gunung dan pelbagai hobi yang lain. Persoalannya, mengapakah
setiap insan di dunia ini perlu mempunyai hobi? Sesungguhnya semua orang
mempunyai alasan tersendiri yang menyebabkan mereka melakukan hobi yang
digemari itu. Menurut pandangan saya, hobi memang sewajarnya dimiliki oleh
semua orang tanpa mengira usia, pangkat dan keturunan. Memang tidak dapat
dinafikan bahawa aktiviti positif seumpama ini banyak memberikan maslahat dalam
kehidupan setiap insan. Tidak terkecuali saya, yang turut memperoleh kebaikan
daripada hobi yang saya lakukan. Oleh hal yang demikian, faedah-faedah hobi
yang mewarnai fokus perbincangan akan dikupas dengan lebih terperinci.
Lanjutan
daripada huraian yang telah dinyatakan di atas, saya menjadikan hobi saya
untuk mengisi masa lapang dengan aktiviti yang berfaedah. Bertitik
tolak daripada itu, masa senggang saya digunakan untuk bermain bola sepak,
berjoging dan membaca buku. Hal ini secara tidak langsung menghindarkan diri
saya daripada aktiviti kurang sihat dan bergaul dengan rakan yang mempunyai
masalah sosial. Contoh yang boleh diketengahkan ialah remaja yang sedang
mencari identiti diri dan mengalami kecelaruan jiwa akan mudah terlibat dalam
aktiviti merempit, melepak dan pergaulan bebas kerana mereka tidak mempunyai
matlamat hidup seperti layang-layang yang terputus talinya. Dalam konteks
ini, dengan adanya hobi, masa saya tidak disia-siakan dan tidak terbiar begitu
sahaja kerana masa itu emas yang perlu diisi dengan aktiviti yang berfaedah.
Bukan itu sahaja, dengan mempunyai hobi dapat mengelakkan diri saya daripada
berasa bosan dalam mengharungi kehidupan seharian di alam fana ini. Konklusinya,
hobi dapat memenuhi masa lapang saya dengan pelbagai aktiviti yang bermanfaat.
Pada
realitinya, memang tidak dapat dinafikan bahawa hobi juga dapatmenambahkan ilmu
pengetahuan saya yang sedia ada. Sebagaimana yang kita ketahui, hobi
seperti membaca, melayari internet dan menonton televisyen dapat membantu
meningkatkan pengetahuan am seseorang. Selain itu, saya juga dapat menguasai
kemahiran dalam melakukan aktiviti harian seperti memasak dan melukis. Sebagai
contoh, aktiviti mengait yang telah saya praktikkan dari hari ke hari dapat
meningkatkan kemahiran saya lagi dan akhirnya dapat menghasilkan sesuatu karya
kreatif yang menarik seperti peribahasa sehari selembar benang, lama-lama
menjadi kain. Bukan itu sahaja, saya juga dapat menambahkan ilmu pengetahuan
apabila menonton rancangan dokumentari di televisyen seperti Majalah 3 dan
‘Insect War’. Bahkan, dalam zaman yang serba canggih ini, saya juga boleh
mendapatkan informasi yang saya perlukan dengan mudah melalui internet. Maka,
jelaslah bahawa dengan mempunyai hobi yang tertentu dapat membantu saya dalam
menambahkan ilmu pengetahuan dan meningkatkan penguasaan serta kemahiran diri
dalam pelbagai bidang karya kreatif.
Suatu
hakikat yang tidak boleh dikesampingkan adalah apabila saya mempunyai hobi,
saya dapat mengekalkan kesihatan fizikal dan mental. Hobi yang sering
saya lakukan untuk mengekalkan kesihatan fizikal dan mental adalah dengan
mendaki gunung, berjoging dan berenang. Dengan melaksanakan hobi ini, daya
tahan kardiovaskular dapat ditingkatkan. Hal ini secara tidak langsung, dapat
meningkatkan imuniti badan saya daripada sebarang jangkitan penyakit seperti
demam, selesema dan batuk. Hal ini seterusnya dapat membantu saya melaksanakan
aktiviti harian secara efektif kerana badan cergas, otak cerdas. Lanjutan
daripada huraian yang telah dinyatakan di atas, apabila saya memanfaatkan masa
saya dengan hobi yang saya gemari secara tidak langsung dapat mengurangkan
stres. Hal ini adalah kerana, apabila saya melakukan hobi, saya akan menumpukan
sepenuh perhatian terhadap aktiviti tersebut dan bukannya memikirkan masalah
kehidupan yang kadang kala membebankan minda saya. Bagi membuktikan perkara
ini, apabila saya membaca novel, saya akan leka dengan mesej yang ingin
disampaikan oleh novelis, sehingga melupakan masalah yang membelenggu sukma
buat seketika. Tegasnya, dengan mempunyai hobi saya dapat kepuasan diri kerana
melakukan sesuatu aktiviti yang digemari dan membebaskan diri daripada sebarang
masalah yang menghimpit kalbu.
Dalam
menelusuri ranjau yang penuh onak dan duri, hobi juga dapat menjana
pendapatan saya. Umum mengatahui, kadar pengangguran di Malaysia semakin
meningkat dari hari ke hari. Oleh hal yang demikian, saya harus merebut peluang
keemasan yang ada untuk menjana pendapatan saya. Sebagai analoginya, hobi yang
dapat menjana pendapatan ialah hobi memasak dan menggubah bunga. Apabila saya
mempunyai kemahiran memasak, saya dapat menjual hasil air tangan saya di
kedai-kedai atau di koperasi sekolah. Dalam konteks ini, hasil jualan tersebut
dapat saya gunakan sebagai wang saku. Sekali gus, aktiviti ini juga dapat
mengurangkan beban kewangan keluarga saya. Selain itu, saya dapat memanfaatkan
wang tersebut untuk membeli bahan-bahan rujukan sebagai usaha untuk
meningkatkan prestasi akademik saya. Tidak kurang penting juga, sebahagian
daripada wang itu dapat saya simpan di dalam bank untuk kegunaan masa depan bak
kata peribahasa sediakan payung sebelum hujan. Tegasnya, hobi yang kreatif
lagi inovatif sebenarnya dapat menjana pendapatan sekiranya saya memanfaatkan
seoptimumnya kelebihan yang ada dalam diri ini.
Ramai
yang mulai sedar bahawa hobi juga dapat mengeratkan hubungan
silaturahim antara sesama insan. Hobi bukan sekadar dalam lingkungan dunia
individu sahaja malah dapat dilakukan secara berkumpulan. Sebagai contoh, hobi
yang boleh dilakukan secara berkumpulan seperti mengulang kaji pelajaran,
bermain boling dan melancong bersama dengan keluarga. Melalui komunikasi dua
hala, secara tidak langsung bukan sahaja dapat merapatkan hubungan silaturahim
malahan juga dapat mewujudkan kemesraan lantas memupuk kerjasama antara satu
sama lain bagai aur dengan tebing. Dalam hal ini, nilai saling membantu
dan bekerjasama yang termaktub sebagai nilai yang ke-35 dalam Pendidikan Moral
dapat dipraktikkan. Perpaduan juga turut dapat dilahirkan apabila masyarakat
yang terdiri daripada multietnik terlibat dalam hobi yang sama, visi kudsi
Wawasan 2020 sudah pasti dapat direalisasikan. Deduksinya, hobi mendatangkan
faedah yang amat bermakna dalam mengaribkan perhubungan antara sesama
insan.
Lontaran
idea yang seterusnya, sejak kecil lagi saya suka menyanyi. Ibu bapa telah dapat
mengesan bakat yang ada pada diri saya lalu mereka menghantar saya untuk
menghadiri kelas muzik. Hinggalah ke hari ini, saya masih suka menyanyi dan
tidak dapat dipisahkan dengan aktiviti yang berkaitan dengan muzik bak kata
P.Ramlee, lagu dan irama tidak dapat dipisahkan. Sambil menyelam
minum air, hobi yang saya pilih sebenarnya dapat mengembangkan dan
mengasah bakat saya dalam bidang muzik. Saya juga akan menggunakan masa
terluang untuk bermain alat muzik seperti piano. Sesungguhnya, hobi ini
telah mengembangkan potensi diri saya yang telah sedia ada. Dengan
menyertai sesuatu pertandingan nyanyian, saya akan memperoleh pengalaman baru.
Saya juga berlatih menyanyi dengan tekun dan bersungguh-sungguh supaya saya
dapat memenangi sesuatu pertandingan kerana saya tahu jika tidak
dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya. Meraih tempat pertama dalam
pertandingan yang saya sertai bagaikan orang haus diberi air, orang lapar
diberi nasi. Ibu bapa dan pihak sekolah turut berbangga dengan kejayaan
saya. Kejayaan dalam pertandingan yang disertai dan pengalaman baharu yang
ditimba ini telah memantapkan , meningkatkan kemahiran serta memberikan keyakinan
dalam diri saya untuk mencari nafas baru dalam kehidupan melalui hobi yang
diminati.
Perbincangan
saya telah meniti ke puncaknya, maka sebagai akhirulkalam, hobi banyak
mendatangkan faedah kepada segenap strata masyarakat. Oleh itu, saya akan
berhati-hati seperti menarik rambut di dalam tepung, rambut tidak putus
tepung tidak berselerak dengan menguruskan masa untuk hobi dan pelajaran
saya dengan bijaksana. Selanjutnya, saya juga akan mengelakkan diri daripada
melayari laman sesawang yang berunsur negatif agar mental dan jiwa saya tidak
goyah dek nafsu yang bermaharajalela . Pada pendapat saya, ibu bapa hendaklah
menggalakkan anak-anak mempunyai hobi sejak kecil lagi keranamelentur buluh
biarlah dari rebungnya. Hal ini demikian kerana anak-anakumpama sebutir
batu permata yang belum digilap, ibu bapalah yang bertanggungjawab menggilapnya
sehingga menjadi berlian yang indah nan berkilau. Remaja yang berkembang baik
dari psikologi dan fisiologi akan menjadi tulang belakang dalam
memacu kegemilangan negara kelak. Marilah kita memikul tanggungjawab
bersama-sama untuk merealisasikan visi kudsi Wawasan 2020 supaya negara kita
dapat berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan negara-negara
maju yang lain.