Kepentingan Teknologi
Maklumat dan Komunikasi (ICT)
Dalam
era ledakan maklumat ini, teknologi maklumat dan komunikasi atau ICT amat
penting. Teknologi ini sudah menguasai global ini dengan berleluasa. Hampir
setiap saat orang menggunakan teknologi ini dan dengan teknologi jugalah
menyebabkan kita boleh menguasai dan mengawal hampir setiap perkara di hujung
jari sahaja. Negara yang tidak mengutamakan ICT akan ketinggalan
dalam arus pembangunan atau umpama katak di bawah tempurung. Kemajuan ICT
ini telah mendatangkan banyak manfaat kepada individu, masyarakat dan negara.
Sesuatu
perkara yang dicipta atau diwujudkan tentu sekali mendatangkan kebaikan serta
keburukan. Perkara yang baik tentu sekali lebih mendatangkan faedah atau
kepentingan kepada pengguna. Begitu jugalah dengan ICT. Kemajuan ICT
telah menyumbang dalam meningkatkan pengurusan dan pentadbiran negara ke
arah lebih sistematik dan teratur. Segala urusan baik kerajaan
mahupun swasta dapat dipercepat melalui kemajuan ICT. Keadaan ini bukan sahaja
menjimatkan masa, bahkan tenaga, dan wang kerajaan serta rakyat sendiri.
Kegunaan ICT sememangnya cukup mendewasakan Malaysia. Pentadbiran
negara dan swasta menjadi lebih cepat dan cekap. Dengan itu, Malaysia akan
lebih cepat mencapai wawasannya dan mencipta nama di persada dunia ini. Sebagai
analoginya, kerja pengurusan dokumen, permohonan dan sebagainya menjadi tepat
dan cekap. Dengan adanya ICT, data dapat diproses dan disimpan
dengan segera tanpa membuang masa. Sesungguhnya, masa itu
emas. Urusan kewangan melalui mesin teler automatik (ATM) dan Internet membolehkan
kita menguruskan wang kita di seluruh dunia dengan mudah dan lancar.
Jika
ditinjau secara lebih mendalam lagi, ICT bukan sahaja membantu dalam
pentadbiran dan pengurusan negara, malah ICT penting dalam ramalan cuaca
dan panduan pelayaran. Jika dahulu, pelayar merujuk kepada kedudukan bintang di
langit untuk dijadikan sebagai “kompas” semasa belayar. Jika dahulu
ada yang merujuk keadaan langit dan awan untuk meramal cuaca ataupun
mempercayai ramalan ahli nujum. Sekarang, dengan adanya satelit cuaca, fenomena
alam dapat diramal dengan lebih tepat serta terperinci. Melalui satelit cuaca
ini, siri gambar awan dapat diambil dan seterusnya kita dapat meramalkan
keadaan cuaca dunia. Persediaan awal dapat kita buat untuk mengelakkan
berlakunya kerugian harta benda dan pengorbanan nyawa. Banjir, ribut
taufan, tsunami, dan gempa bumi adalah antara contoh fenomena alam yang tidak
dapat tidak kita sebagai manusia perlu untuk mengawalnya dengan membuat
persediaan rapi kerana kita perlu sediakan payung sebelum
hujan. Dengan ramalan fenomena El Nino dan La Nina yang tepat itu, kita
dapat membuat persediaan awal. Sebagai contohnya, sistem satelit aeronautik
(USA) dapat menghubungi kapal terbang yang melintasi Lautan Atlantik dan
Pasifik. Teknologi komunikasi pelayaran juga penting dalam sistem pengangkutan
udara dan laut. Teknologi ini berfungsi sebagai panduan pelayaran. Sistem
Satelit Laut (IMMARISAT) dapat mengesan kapal-kapal yang menghadapi masalah di
samping berfungsi sebagai panduan.
Sudah
terang lagi bersuluh bahawa ICT memainkan peranan yang penting kepada
dunia. Hal ini dapat dibuktikan apabila ICT mempercepat hubungan
antarabangsa. Dunia seakan-akan menjadi semakin kecil dengan wujudnya ICT. Kita
dapat menghubungi sesiapa sahaja di seluruh dunia. Perkara ini ternyata sekali
mengukuhkan ungkapan Dunia Tanpa Sempadan. Kita dapat berhubung
dengan sesiapa sahaja sama ada di laman sembang, e-mel, sistem pesanan ringkas
(SMS), Skype dan sebagainya. Kita juga dapat menghubungi sesiapa sahaja di
seluruh dunia dengan menggunakan telefon bimbit. Sesuai dengan pepatah lama,
ICT mendekatkan jarak, yang jauh didekatkan, yang dekat dirapatkan.
Bukan
itu sahaja, perkembangan semasa yang berlaku di seluruh dunia juga dapat
diikuti dengan serta-merta seperti siaran langsung konsert artis
popular, perlawanan bola sepak dunia dan siaran berita mutakhir. Acara sukan,
persidangan dan sebagainya yang berlangsung di sesebuah negara seperti di Korea
di Jepun mahupun di Amerika Syarikat dapat dipancarkan ke seluruh dunia secara
langsung. Siaran ini dapat ditonton melalui Internet dan Astro,
telefon, faksimili, televisyen, dan persidangan video bergantung pada ICT untuk
membolehkan kita merasai nikmat ini. Internet dan komputer riba turut berfungsi
melalui teknologi serba canggih ini. Sememangnya ICT merupakan pembuka laluan
yang luas kepada masa depan yang gemilang.
Kewujudan
ICT turut membantu dalam sistem pengajaran dan pembelajaran
(P&P). Sistem pendidikan di sekolah dimajukan oleh ICT sekali gus
mewujudkan sekolah bestari. Pelajar mendapatkan maklumat dari seluruh dunia
melalui Internet untuk melakukan kerja atau projek-projek di sekolah. Pelajar
akan belajar mengikut kemampuan mereka serta melahirkan generasi yang celik
komputer. Pendidikan di sekolah atau di institusi lebih bercirikan pendidikan
jarak jauh. Peluang pendidikan menjadi lebih luas, selain menjimatkan kos.
Pelajar pintar dan celik IT tidak disekat oleh faktor kelas dan usia. Hal ini
melahirkan lebih ramai cendekiawan. Fakta ini nyata terbukti apabila
ada kanak-kanak yang baru berusia setahun jagung sudah boleh
menguasai mata pelajaran Matematik jauh lebih baik daripada pelajar yang sudah
menuntut di institusi pengajian tinggi (IPT). Pelajaran di sekolah rendah
ataupun pelajaran sekolah menengah dapat dipelajari melalui modul pemelajaran
yang disediakan dalam cakera padat-ingatan baca sahaja (CD-ROM) yang telah
disediakan oleh pihak Kementerian Pendidikan Malaysia.
Sehubungan
dengan itu, selain membantu dalam sistem pendidikan, ICT juga
menjadi penyumbang penting dalam menjaga keamanan dan keselamatan negara.
Kes jenayah yang semakin berleluasa di negara Malaysia dapat diatasi dengan
bantuan ICT. Televisyen litar tertutup (CCTV) banyak digunakan dan ditempatkan
di kawasan-kawasan seperti bank, kasino, lapangan terbang, pangkalan terbang,
dan pasar-pasar raya. Sistem CCTV ini ialah penggunaan kamera video untuk
menghantar isyarat ke tempat-tempat tertentu. Isyarat yang dihantarnya tidak
dihantar secara terbuka, hal ini berbeza sekali dengan televisyen. CCTV ini
digunakan untuk mengawas keselamatan sesuatu tempat yang tertentu sahaja. Di
samping itu, kegiatan jenayah yang berlaku dapat dikesan dan seterusnya
memberkas penjenayah yang terbabit ibarat senjata serampang dua mata.
Dengan bantuan CCTV, akhirnya kanak-kanak yang bernama Nurin ditemui. Kes
penculikan kanak-kanak tersebut pernah menggegarkan seluruh
Malaysia. Kejadian ini tentu sekali kes jenayah yang sangat kejam.
Walaupun mayat kanak-kanak tersebut ditemui dalam keadaan yang menyayatkan
hati, tetapi dengan adanya kamera video dapat merakamkan lokasi beg yang
terkandung mayat kanak-kanak tersebut. Dengan CCTV juga, kes disiplin yang
berlaku di sekolah dapat dikawal oleh pihak sekolah.
Bertitik
tolak dari itu, kita dapat melihat bahawa pembangunan negara bergantung pada
kemajuan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT). Langkah kerajaan melancarkan
Koridor Raya Multimedia (MSC) sememangnya tepat pada masanya. Sudah tiba
masanya untuk negara Malaysia berjaya di peringkat kebangsaan mahupun serantau.
MSC memainkan peranan penting untuk menjadi pemangkin kemajuan ICT di Malaysia.
Untuk menjayakan harapan ini, semua pihak tidak kira pihak kerajaan ataupun
pihak swasta, perlulah berganding bahu bersama-sama rakyat bagai aur
dengan tebing, sehati seia untuk melonjakkan nama negara Malaysia ke
pentas dunia. Oleh tiu, Malaysia dapat duduk sama rendah, dan berdiri sama
tinggi dengan negara-negara maju yang lain.
.