Kepentingan Semangat
Kejiranan
Nusa
tercinta kita Malaysia merupakan negara yang mempunyai anak watan berbilang
kaum dan hidup secara bersama sehati sejiwa ibarat seikat bak sirih,
serumpun bak serai. Sehubungan dengan itu, kebanyakan anggota masyarakat hidup
berjiran di kawasan bandar ataupun di kawasan luar bandar dan mereka saling
berhubung, bertemu dan berurusan antara satu sama lain. Namun ada lakaran suram
yang menyelubungi kita bahawa ada pandangan yang menyatakan bahawa semangat
kejiranan dalam kalangan masyarakat Malaysia pada masa ini dikatakan semakin
terhakis ibarat hidup segan mati tak mahu.Banyak kempen dan usaha telah
dijalankan oleh pelbagai pihak untuk merapatkan kembali hubungan dalam kalangan
jiran kerana semangat kejiranan begitu penting dalam kehidupan
bermasyarakat.
Sebenarnya semangat
kejiranan dapat memupuk kerjasama dalam kalangan anggota masyarakat di
sesuatu tempat. Kerjasama ini boleh dipupuk melalui penglibatan anggota
masyarakat dalam pelbagai aktiviti yang diadakan di kawasan tempat mereka
tinggal. Aktiviti kemasyarakatan seperti gotong-royong, majlis sambutan
perayaan atau perjumpaan bulanan komuniti dapat mempertemukan semua jiran,
saling berkenalan dan merapatkan hubungan . Mereka akan lebih mesra, saling
membantu bagai aur dengan tebing tanpa membezakan warna kulit, bangsa
atau kepercayaan. Hal ini menunjukkan bahawa semangat kejiranan yang dipupuk
dapat membentuk kerjasama dalam kalangan anggota masyarakat seterusnya
membentuk ukhuwah yang kukuh dan ampuh.
Selain
itu semangat kejiranan juga penting kerana dapat membentuk semangat
kekitaan dan melahirkan masyarakat yang bersatu padu. Mengimbas kembali
Peristiwa 13 Mei 1969 menunjukkan bahawa jika masyarakat tidak bersatu padu dan
berpecah-belah, negara akan musnah dan kehidupan anggota masyarakat tidak akan
selesa dan aman. Tuntasnya, semangat kejiranan membolehkan semua anggota
masyarakat memahami antara satu sama lain. Masyarakat yang berbilang kaum ini
boleh mempelajari perbezaan budaya dan sistem sosial masyarakat lain seterusnya
memahami sensitiviti mereka agar dapat bertoleransi, bekerjasama dan saling
menghormati. Tegasnya semangat kejiranan penting dalam membentuk masyarakat
yang bersatu padu dan seterusnya dapat memacu pembangunan negara ke arah
kegemilangan.
Di
samping itu, semangat kejiranan juga penting kepada negara keranamemudahkan
kerajaan melaksanakan pelbagai program pembangunan dan membawa kemajuan kepada
rakyat. Slogan Negara Maju Rakyat Sihat menunjukkan apabila rakyat
hidup dalam keadaan sihat sejahtera maka pelbagai rancangan pembangunan dapat
diatur, dirancang dan dilaksanakan secara lancar tanpa sebarang kekangan. Jika
masyarakat dapat hidup bersama dalam suasana yang aman dan harmoni maka segala
kemajuan yang disediakan oleh kerajaan di seluruh pelosok tanah air akan dapat
dinikmati bersama-sama secara adil dan saksama. Sebagai contohnya, kerajaan
telah berupaya membina pelbagai kemudahan dan infrastrukur di kawasan
taman-taman perumahan seperti dewan orang ramai, balai raya, taman permainan
kanak-kanak mahupun pusat komuniti atas inisiatif, semangat kejiranan dan
perpaduan yang ditunjukkan oleh anggota masyarakat di sesetengah kawasan tempat
tinggal. Jelaslah semangat kejiranan penting bagi membantu anggota masyarakat
dalam suatu kawasan kejiranan menikmati pelbagai kemudahan awam yang disediakan
oleh pihak kerajaan.
Negara
yang cemerlang lahir daripada rakyatnya yang berhemah tinggi dan hidup bersatu
padu seia sekata . Jika masyarakat dapat berganding bahu dan saling mengekalkan
kehidupan yang harmoni maka negara akan melakar kejayaan gemilang. Semangat
kejiranan merupakan salah satu elemen penting dan vital yang
membantu melahirkan anggota masyarakat yang harmoni, mempunyai jati diri
dan semangat cinta akan negara. Melalui hubungan kejiranan, pelbagai aktiviti
berbentuk pemupukan nilai-nilai patriotisme dapat diimplimentasikan. Sebagai
contoh, mengibarkan jalur gemilang, mengadakan pameran sempena ulang tahun
kemerdekaan negara ataupun menyertai perarakan dalam sesebuah pesta. Datuk
Azhar Bin Mansor merupakan contoh paling jelas, dan atas sokongan rakyat
Malaysia membolehkan beliau melakukan pelayaran solo mengelilingi dunia sambil
mengibarkan jalur gemilang dengan penuh kejayaan. Hal Ini jelas menunjukkan
keharmonian kehidupan rakyat Malaysia membolehkan mereka melakukan sesuatu hal
dan perkara yang amat hebat bagi melonjakkan Malaysia di persada
antarabangsa.
Semangat
kejiranan yang wujud dalam kalangan masyarakat Malaysia yang berbilang kaum
juga penting sebagai produk pelancongan. Sesungguhnya, kedatangan
pelancong asing ke negara ini banyak disebabkan kehidupan masyarakat Malaysia
yang unik, mempunyai pelbagai seni budaya yang menarik dan hidup secara harmoni
dalam komuniti kejiranan. Sesungguhnya, perpaduan masyarakat banyak membantu
menarik kehadiran pelancong terutamanya ketika musim perayaan besar. Sebagai
contohnya pada sambutan Hari Kemerdekaan, Majlis Rumah Terbuka dan sambutan
pesta-pesta tertentu menampilkan perpaduan masyarakat berbilang kaum di negara
kita yang amat disukai oleh para pelancong asing tersebut . Selain di kawasan
bandar, produk pelancongan seperti Program Homestay atau Inap Desa di kawasan
luar bandar juga dapat menunjukkan semangat hidup berjiran dalam kalangan
masyarakatnya. Maka sememangnya semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat
Malaysia sangat berfaedah dan membawa pulangan ekonomi yang begitu
memberangsangkan kepada negara.
Intihanya,
semangat kejiranan merupakan sebahagian daripada amalan dan menjadi budaya
masyarakat di Malaysia yang menjadikan negara kita unik pada pandangan
masyarakat di luar sana malah dikenali di seluruh dunia. Tuntasnya, semangat
kejiranan bukan sahaja penting dalam mengekalkan suasana harmoni dalam kalangan
rakyat di negara kita malah sumbangannya cukup besar terutamanya bagi memastikan
Malaysia terus cemerlang dan mampu berdaya saing pada masa akan datang kerana
rakyatnya yang bersahsiah terpuji bagi melahirkan modal insan berminda kelas
pertama yang dapat memacu negara tercinta ke arah kegemilangan di puncak jagat.
Maka, Wawasan 2020 bukanlah lagi angan-angan Mat Jenin tetapi bakal
menjadi kenyataan dalam beberapa tahun yang mendatang ini. Sesungguhnya,
benarlah seperti slogan negara yang berbunyi “bersatu kita teguh, bercerai kita
roboh!”.