Sinopsis

CERPEN GERHANA MANUSIA (Aminah Mokhtar)

SINOPSIS


Cerpen Gerhana Manusia karya Aminah Mokhtar mengisahkan kesibukan di Wad ICU sebuah hospital. Ketika itu, di wad ICU terlantar Tuan Besar Musa yang sedang mengalami jangkitan kuman dalam paru-paru akibat gaya hidupnya yang tidak sihat. Tuan Besar Musa memerlukan pek darah yang banyak untuk meneruskan hidup. Nusia seorang jururawat yang bertugas membantu Dr Juaidi dan Dr Murni di Wad ICU yang menempatkan Tuan Besar Musa. Dr Juaidi dan Dr Murni bertanggungjawab merawat semua pesakit di wad tersebut.


Ketika itu, terdapat beberapa orang pesakit lain yang memerlukan darah untuk membantu merawat mereka. Antaranya ialah Solehah yang tenat akibat keguguran dan Al-Hafiz pula terlibat dalam kemalangan yang teruk. Pada wad yang sama terdapat seorang bayi yang dibuang di tepi jalan dan telah cedera digigit oleh anjing liar. Selain itu, terdapat seorang gadis yang menjadi mangsa sumbang mahram oleh ayahnya dan seorang mahasiswa yang mengidap leukimia.


Nusia telah dipertanggungjawab untuk membantu Dr Murni merawat semua pesakit di wad ICU dan dipantau oleh Dr Juaidi. Dr Juaidi lebih memberi perhatian kepada Tuan Besar Musa kerana Tuan Besar Musa merupakan seorang ahli korporat yang ternama. Tuan Besar Musa banyak memberi sumbangan kepada kelab elit hospital berkenaan. Selain itu, Tuan Besar Musa juga telah menderma beratus ribu ringgit untuk majlis makan malam hospital tersebut. Nusia tidak berpuas hati apabila Dr Juaidi tidak mempedulikan pesakit lain disebabkan taraf sosial berbeza.


Nusia tidak berpuas hati dengan arahan Dr Juaidi yang menyuruhnya membawa lima pek darah untuk merawat Tuan Besar Musa sedangkan darah-darah tersebut sangat diperlukan oleh pesakit lain. Tuan Besar Musa memang tidak mempunyai harapan untuk sembuh. Nusia tidak berpuas hati terhadap tindakan Dr Juaidi lalu menyuarakan ketidakpuasan hatinya kepada Dr Murni.


Dr Murni tidak mampu untuk berbuat apa-apa kerana Dr Juaidi lebih berkuasa di wad tersebut. Namun demikian, akhirnya Tuan Besar Musa telah meninggal dunia dan Dr Murni telah dipersalahkan kerana tidak memberi bantuan darah kepada Tuan Besar Musa. Dr Murni sedar bahawa setiap insan wajib ditolong tidak kira pangkat dan darjat. Nusia dan Dr Murni sendiri akhirnya yang menderma darah mereka untuk membantu 4 orang pesakit di wad tersebut yang masih memerlukan darah.