Langkah-langkah menangani masalah penyalahgunaan dadah di Malaysia


Langkah-langkah menangani masalah penyalahgunaan dadah di Malaysia 

     Ramai yang berbicara tentang dadah, tetapi pernahkah kita bertanya kepada diri sendiri apakah yang dimaksudkan dengan dadah? Dadah merupakan najis yang telah mengancam negara kita sejak sekian lama dan isu penyalahgunaan dadah masih kekal menjadi musuh utama negara. Dadah secara rationalnya digambarkan sebagai sesuatu yang negatif dan perlu dijauhi. Penyalahgunaan dadah berlaku apabila dadah digunakan bukan untuk tujuan perubatan dan diambil oleh seseorang tanpa pengawasan pihak perubatan. Dadah memberi kesan negatif ke atas sistem badan, tingkah laku manusia dan sebagainya. Keburukan yang diterima oleh pengambil dadah adalah lebih banyak berbanding kebaikan dan manfaatnya yang boleh didapati. Jika diteliti, dadah disalah gunakan untuk kepentingan diri sendiri seperti mengelakkan rasa sakit, mendapatkan rasa segar, mengelakkan tekanan hidup, melarikan daripada kesengsaraan dan sebagainya.

     Masalah penyalahgunaan dadah sebenarnya adalah masalah sejagat dan sebagai sebuah rantau yang dikatakan banyak menerima perubahan serta pembangunan, rantau Asia Pasifik termasuk Malaysia turut mengalami pelbagai gejala sosial. Penyalahgunaan dadah terutamanya dalam kalangan remaja amat membimbangkan dan ia berkait rapat dengan bermacam penyakit sosial seperti pelacuran, lepak, dan perjudian. Perkara inilah yang banyak menggugat dan memudaratkan keadaan sesebuah negara sama ada dalam bidang ekonomi, sosio-budaya, politik mahupun keselamatan. Dengan lain perkataan, kemajuan serta pembangunan yang kita capai dan kecapi selama ini tidak akan berkekalan sekiranya masalah dadah tidak dapat diatasi segera.

     Oleh itu, pelbagai langkah drastik perlu direncanakan dan dilaksanakan untuk memerangi ancaman dadah. Dalam usaha untuk membendung masalah yang semakin gawat ini, ibu bapa memainkan peranan yang cukup penting untuk memastikan anak-anak mereka tidak turut terjebak dalam masalah ini. Mereka perlu meluangkan masa secukupnya untuk bersama anak-anak. Sikap ambil berat dan bertanggungjawab serta penyayang ini mampu mengelakkan remaja dari terjerumus ke dalam maslah penyalahgunaan dadah. Ibu bapa perlu menyediakan segala keperluan dan pendidikan baik yang formal mahupun yang tidak formal dalam usaha membendung anak-anak mereka dari terjebak ke perangkap penyalahgunaan dadah. Anak-anak hendaklah diberikan pendidikan agama secukupnya serta diawasi setiap pergerakan dan pergaulan mereka sejak dari kecil lagi. Sesungguhnya pembentukan sahsiah remaja banyak ditentukan oleh institusi kekeluargaan.

     Pendidikan pencegahan pnyalahgunaan dadah di sekolah merupakan langkah awal untuk membendung penyalahgunaan dadah dalam kalangan remaja. Seandainya tidak dibendung, masalah ini akan terus mengancam dan menggugat kesejahteraan negara. Pendidikan pencegahan pada dasarnya bertujuan untuk mendidik di samping memberikan maklumat untuk menyedarkan remaja mengenai bahayanya penyalahgunaan dadah sebelum ianya terlambat. Sudah tentu kita tidak ingin melihat remaja terjerumus ke dalam jurang kehinaan ini. Peranan pihak sekolah dalam membenteras masalah ini amatlah penting. Antara program yang boleh dilaksanakan ialah Program Intelek Asuhan Rohani (PINTAR). Program ini diatur untuk memberikan kesedaran kepada pelajar mengenai risiko penyalahgunaan dadah dan secara tidak langsung mendidik mereka untuk menjauhi najis dadah. Oleh yang demikian, peranan pihak sekolah amat penting dalam menerapkan budaya remaja benci dadah dan seterusnya membantu golongan ini menjauhi najis dadah sebelum ia menjadi parah.

     Di samping itu, pihak kerajaan dan juga badan bukan kerajaan boleh memainkan peranan dalam usaha mengurangkan penyalahgunaan dadah. Antaranya ialah melalui program Rakan Muda, kem motivasi dan lain-lain program yang meliputi pelbagai aktiviti. Hal ini demikian kerana melalui kem-kem ini para remaja dapat memenuhi masa senggang mereka dengan aktiviti lebih berfaedah. Pihak kerajaan juga boleh mengadakan kempen anti-dahad dan menyiarkannya melalui media massa. Undang-undang dan hukuman bagi kesalahan penyalahgunaan dadah dan mengedar dadah hendaklah diketatkan lagi bagi mengelakkan masalah ini terus berleluasa. Agensi yang ditubuhkan seperti Agensi Anti-Dadah Kebangsaan (AADK) perlu memperkemaskan jentera mereka memantau bekas penagih agar mereka tidak kembali menagih dadah kembali.

     Selain itu, kesedaran diri remaja penting untuk menjauhi najis dadah. Kesedaran diri ini penting untuk membentuk minda yang positif agar sentiasa membuat sesuatu dengan pemikiran yang rasional. Mereka hendaklah sentiasa diberikan ingatan tentang pentingnya kehidupan pada masa hadapan. Remaja kini terlalu terdedah dengan pergaulan sosial yang tidak sihat seterusnya menjerumuskan mereka ke dalam kancah penyalahgunaan dadah ini. Oleh sebab itu, kesedaran dalam diri amat penting. Mereka perlu tahu membezakan yang baik dengan yang buruk. Tidak perlu mengikut telunjuk kawan kerana 'ikut hati mati ikut rasa binasa'. Rakan yang berkualiti juga adalah tunggak dalam membantu diri remaja menjadi berkualiti juga.

    Konklusinya, semua pihak termasuk ibu bapa, guru, masyarakat mahupun kerajaan perlu berganding bahu memerangi gejala penyalahgunaan dadah ini. Oleh itu, marilah kita bersama-sama berusaha memerangi dadah kerana dadah adalah musuh utama negra dan dadah boleh meruntuhkan keharmonian dan kesejahteraan negara. Sebagai pemuda harapan bangsa dan pemudi tiang negara, biarlah kita hidup bahagia tanpa dadah. Janganlah disebabkan 'nila setitik, rosak susu sebelanga' kerana negara kita adalah contoh dalam kalangan negara Islam. Kita tidak mahu masalah penyalahjgunaan dadah ini mencemarkan nama baik bangsa amnya dan negara khususnya.

.